Wednesday, July 18, 2018

SEJARAH SEKOLAH




Image result for sejarah smk seri jempol

Perpatah Melayu ada mengatakan tak kenal, maka tak cinta.  Maka marilah kita selami sejarah penubuhan sekolah kita yang disayangi ini.  Sekolah Menengah Kebangsaan Serting (F) telah membuka tirainya pada Januari 1998.  Tuan Haji Kamaruddin bin Ibrahim merupakan pengasas dan pengetua pertama yang berkhidmat di sekolah ini.  Tugas beliau sebagai pengetua dibantu oleh Encik Mohd Nazri bin Hassan selaku Guru Penolong Kanan Akademik, Puan Rohani binti Daharum selaku Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid dan Puan Anis Suraza binti Sued sebagai Guru Penolong Kanan Kokurikulum.  Pada peringkat awal penubuhan sekolah ini, jumlah kelasnya sebanyak 8 buah kelas Tingkatan 1.  Manakala tenaga pengajar seramai 23 orang dengan jumlah murid seramai 320 orang.Pada peringakat awal penubuhannya, Sekolah Menengah Kebangsaan Serting (F) hanya menumpang di Sekolah Kebangsaan Serting 3  selama 3 tahun 10 bulan selepas bangunan sebenar sekolah ini telah siap dibina. Pada Mac 2000, Tuan Haji Kamarudin bin Ibrahim telah berpindah ke Sekolah Menengah Teknik Kuala Klawang.  Tempat beliau telah diambil alih oleh Tuan Haji Ibrahim bin Idrus.  Jumlah murid pada waktu itu telah bertambah menjadi 1,100 orang dengan jumlah tenaga pengajar seramai 58 orang.  Manakala kakitangan pejabat seramai 5 orang, seorang pembantu makmal, 4 orang pekerja sambilan dan 2 orang pengawal keselamatan sambilan.  Jumlah kelas yang digunakan juga telah bertambah 35 buah kelas.  SMK Serting (F) telah berpindah ke sekolah baharu sepenuhnya pada 8 oktober, 2001.
Sejarah kembali terukir pada 5hb Mei, 2004 apabila sekolah ini mula dikenali dengan nama yang baharu iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Jempol.  Namun pada 16hb Ogos, 2004, Tuan Haji Ibrahim bin Idrus telah bertukar ke Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Serting dan jawatan pengetua yang baharu disandang oleh Puan Hajah Saniah binti Haji Mohd Tahir.  Walau bagaimanapun, setelah kira-kira satu tahun enam bulan menerajui sekolah ini, beliau telah kembali ke rahmatullah pada 3hb. Februari, 2006.  Bermula 16hb. Mac, 2006, sekolah ini telah menerima kehadiran pengetua baharu iaitu Tuan Haji Mohd Som bin Abdul Hamid.  Beliau telah bersara pada 13hb. Ogos, 2009.  Oleh hal demikian, pada 16hb Oktober, 2009 merupakan tarikh pengetua baharu Puan Hajah Norlida binti Jantan berkhidmat di sekolah ini.  Namun beliau juga telah bertukar ke Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Mansor pada 1hb. Disember, 2012.Yang patah tumbuh hilang berganti, maka pada 18hb. Disember, 2012 Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Jempol telah menerima kehadiran seorang pengetua cemerlang iaitu Tuan Zakaria bin Sapri.  Sebelum ini beliau telah berkhidmat di Sekolah Menengah Kebangsaan Za’aba, Kuala Pilah.  Kehadiran beliau ke Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Jempol telah diterima baik oleh semua warga sekolah.

No comments:

Post a Comment